LONDON, 2 November - Sembilan individu dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas insiden tikaman dalam sebuah kereta api berhampiran Cambridge, di timur England pada Sabtu (1 November).
Polis telah menahan dua lelaki berhubung kejadian itu. Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyifatkan ia sebagai satu "insiden yang mengerikan."
Menurut British Transport Police (BTP), pasukan polis antikeganasan kini membantu siasatan bagi mengenal pasti sepenuhnya motif dan punca kejadian tersebut.
Rakaman video di Stesen Huntingdon, tempat kereta api itu berhenti, menunjukkan anggota polis dan petugas keselamatan sedang memeriksa kereta api dan landasan menggunakan lampu suluh selepas tengah malam Ahad (2 November).
Turut kelihatan, pasukan forensik bersama anjing pengesan menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.
Polis Cambridgeshire dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.39 malam waktu tempatan selepas menerima laporan beberapa individu ditikam dalam perkhidmatan kereta api 6.25 petang dari Doncaster, utara England menuju ke London King’s Cross.
Kereta api berkenaan kemudian berhenti di Stesen Huntingdon, dan anggota polis bersenjata memasuki gerabak serta menahan dua suspek untuk siasatan lanjut. -REUTERS