NEW DELHI, 2 November - Usaha India menangani pencemaran udara melalui teknik pembenihan awan di New Delhi, dilihat tidak mencapai hasil diharapkan, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan saintis dan aktivis alam sekitar mengenai keberkesanan langkah itu.
Teknik pembenihan awan (cloud seeding) dilakukan dengan menyembur zarah seperti perak iodida dan garam ke dalam awan menggunakan pesawat bagi merangsang hujan, yang berpotensi membantu menyingkirkan bahan pencemar di udara.
Pihak berkuasa Delhi, dengan kerjasama Institut Teknologi India (IIT) Kanpur, memulakan ujian awal minggu lalu menggunakan pesawat jenis Cessna di beberapa kawasan sekitar bandar itu.
Bagaimanapun, pegawai memaklumkan ujian pertama gagal menghasilkan hujan mencukupi disebabkan lapisan awan yang terlalu nipis.
"Ini tidak akan berjaya, ia sekadar ilusi. Hanya dengan membersihkan punca sebenar pencemaran udara, barulah masalah ini dapat dikawal," kata aktivis alam sekitar Bhavreen Kandhari.
Menurut laporan media tempatan, Kerajaan India telah membelanjakan kira-kira AS$364,000 bagi menjalankan ujian tersebut.
Setiap musim sejuk, asap tebal menyelubungi Delhi dan menjejaskan lebih 30 juta penduduknya, apabila udara sejuk memerangkap pelepasan asap daripada pembakaran ladang, kilang dan kenderaan.
Meskipun pelbagai langkah telah diambil — termasuk sekatan kenderaan, menara penyedut jerebu dan trak penyembur kabus, kualiti udara di Delhi kekal antara yang terburuk di dunia bagi sesebuah ibu negara.
Sehari selepas ujian pembenihan awan dijalankan, paras zarah halus PM2.5 yang boleh menyebabkan kanser meningkat kepada 323, iaitu lebih 20 kali ganda melebihi had harian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan dijangka terus memburuk menjelang musim sejuk.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Planetary Health tahun lalu menganggarkan sebanyak 3.8 juta kematian di India antara 2009 hingga 2019 mempunyai perkaitan dengan pencemaran udara.
Timbul juga persoalan mengenai kesan jangka panjang bahan kimia yang digunakan dalam proses pembenihan awan.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) menyatakan bahawa kajian sedia ada masih terhad, namun menunjukkan perak iodida tidak memberi risiko besar kepada alam sekitar atau kesihatan manusia.
Bagaimanapun, EPA mengakui kesan penggunaan bahan itu secara meluas masih belum diketahui sepenuhnya.- AFP