fb fb fb fb fb

Jamaica tubuh hospital medan bantu mangsa taufan Melissa

Keadaan di Jamaica susulan taufan Melissa/ AFP

KINGSTON, 2 November - Pihak berkuasa Jamaica mengumumkan rancangan untuk menubuhkan beberapa hospital medan bagi memperkukuh usaha pemulihan selepas negara itu dilanda taufan Melissa, dengan angka korban di seluruh Caribbean meningkat kepada sekurang-kurangnya 50 orang dan dijangka terus bertambah.

Setakat Sabtu, jumlah kematian yang disahkan di Jamaica kekal 19 orang, namun Menteri Kesihatan, Christopher Tufton, berkata jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

"Saya menjangkakan angka itu lebih daripada yang dilaporkan kerana masih terdapat kawasan yang sukar untuk kami tembusi," katanya pada sidang media.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Awam Haiti memaklumkan sekurang-kurangnya 31 orang maut di negara tersebut akibat taufan berkenaan.

Taufan Melissa melanda Jamaica sebagai Taufan Kategori 5, tahap paling tinggi dalam klasifikasi, dengan kelajuan angin mencecah 185 batu sejam (hampir 300 kilometer sejam) serta hujan lebat berterusan yang menyebabkan kemusnahan besar di seluruh pulau itu.

Hospital di bahagian barat Jamaica antara yang paling terjejas, mendorong kerajaan menubuhkan beberapa hospital medan dalam tempoh beberapa hari akan datang bagi memperkukuh tindak balas kesihatan.

Menurut Tufton, hospital medan pertama akan didirikan di Black River, ibu negeri wilayah paling teruk terjejas.

"Kemudahan itu dijangka tiba esok, dan kami akan segera memulakan proses pemasangan," katanya.

Hospital berkenaan akan dilengkapkan dengan bilik pembedahan, peralatan diagnostik penting, serta pasukan perubatan sokongan bagi membantu petugas tempatan.

Kerajaan Jamaica menjangkakan hospital itu akan beroperasi sepenuhnya pada minggu hadapan, manakala beberapa hospital tambahan akan turut dibangunkan dengan bantuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta beberapa negara termasuk Sepanyol, Kanada dan India.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI