fb fb fb fb fb

Taufan Khanun: 370,000 penduduk di Jepun digesa pindah

(Ranting pokok patah akibat angin kuat di Naha, Okinawa, Jepun/
Reuters)

TOKYO, 1 Ogos- Taufan Khanun melanda selatan Jepun hingga mencetuskan pembatalan ratusan penerbangan dengan pihak berkuasa mengesa ribuan penduduk berpindah mencari perlindungan, hari ini.

Khanun membawa kelajuan angin maksimum 162 kilometer sejam ketika ia melintasi Lautan Pasifik dan dijangka mula membadai wilayah Okinawa lewat hari ini.

Susulan itu, pihak berkuasa Okinawa mengeluarkan arahan pemindahan tanpa mandatori kepada kira-kira 370,000 penduduk.

Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran ombak setinggi 12 meter boleh melanda pulau terbabit.

"Kami minta orang ramai yang tinggal bersendirian atau mendiami rumah kayu di kawasan rendah supaya mempertimbangkan untuk mencari perlindungan sebelum taufan menjadi buruk," kata pegawai pengurusan bencana wilayah Okinawa.

Dalam pada itu, lebih 500 penerbangan dibatalkan, manakala perkhidmatan feri dan bas serantau digantung.

Japan Airlines dan All Nippon Airways memberitahu, lebih 74,000 penumpang akan terjejas akibat pembatalan penerbangan hari ini dan esok. -AFP

(Lapangan Terbang Naha memberitahu pembatalan semua penerbangan hari ini
susulan amaran taufan/Reuters)

Media Baharu