HAIKOU, 25 Ogos - Taufan Kajiki, ribut ke-13 tahun ini, melanda pesisir pantai Wilayah Hainan, sebuah pulau di selatan China pada Ahad malam, menjejaskan lebih 100,000 penduduk, menurut pegawai dalam sidang akhbar wilayah yang diadakan pada Isnin, lapor Xinhua.
Taufan itu melalui kawasan pesisir dari bandar peranginan Sanya hingga ke Daerah Autonomi Li Ledong, sebelum bergerak menuju ke wilayah pesisir tengah dan utara Vietnam, menurut pegawai berkenaan.
Angka awal menunjukkan kira-kira 102,500 orang di Hainan terjejas, dan setakat 9 pagi Isnin, tiada korban dilaporkan.
Taufan itu menyebabkan kerosakan pada jalan raya, sistem bekalan air, kemudahan tenaga dan komunikasi, selain pokok tumbang dan banjir di bandar serta daerah termasuk Sanya, Ledong, Lingshui, Wanning dan kawasan berhampiran.
Lebih 10,000 anggota tentera, polis dan bomba telah digerakkan, manakala lebih 770,000 jenis bekalan kecemasan dihantar bagi menyokong usaha kawalan banjir, bantuan bencana dan kerja-kerja pembersihan jalan di kawasan paling terjejas.
Perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh wilayah itu kini beransur pulih. Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sanya telah dibuka semula, manakala tiga pelabuhan utama di ibu kota Wilayah Haikou dijangka kembali beroperasi pada Isnin. -BERNAMA