OSLO, 25 Ogos- Kerajaan Norway menyasarkan untuk mengekalkan bantuan kepada Ukraine berjumlah 85 bilion kroner (AS$8.4 bilion) pada 2026, kadar yang sama seperti tahun ini, menurut pejabat Perdana Menteri Jonas Gahr Store.
Cadangan itu, yang dibuat semasa Store melawat Kyiv, mesti disahkan oleh parlimen terlebih dahulu.
Jika diluluskan, akan menjadikan sebanyak 275 bilion kroner ($27.1 bilion) jumlah bantuan awam dan ketenteraan akan dihantar Norway ke Ukraine untuk tempoh 2023-2030.
"Kerajaan berhasrat untuk mengekalkan sokongan luar biasa Norway kepada Ukraine tahun depan dan mencadangkan peruntukan sejumlah 85 bilion kroner dalam bentuk sokongan ketenteraan dan awam.
"Ini adalah masa yang genting dalam perjuangan Ukraine untuk mempertahankan diri. Ketika perbincangan mengenai gencatan senjata dan keamanan berlaku, perang masih berkecamuk di Ukraine," kata Store dalam satu kenyataan.
Store dijadual bertemu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Isnin.
Pakej bantuan yang dicadangkan oleh kerajaan buruh Belgium mesti dimasukkan dalam cadangan bajet 2026 yang akan dibentangkan pada bulan Oktober.
Norway akan mengadakan pilihan raya parlimen pada 9 September, dijangka menyaksikan pertempuran sengit antara pihak kiri dan kanan.
Menurut institut penyelidikan Jerman, Kiel Institute, Norway merupakan penyedia bantuan ketenteraan kedua terbesar Eropah kepada Ukraine pada Mei dan Jun, di belakang Jerman.
Pada Ahad, Oslo mengumumkan akan memperuntukkan kira-kira tujuh bilion kroner untuk mengukuhkan pertahanan udara Ukraine, termasuk pembelian bersama Jerman dua sistem pertahanan udara dan peluru berpandu Patriot. -AFP