HOUSTON, 16 Mac- Sekurang-kurangnya 27 maut dan puluhan lagi cedera apabila taufan serta ribut ganas melanda kawasan tengah Amerika Syarikat pada Sabtu, menurut pegawai.
Laporan tempatan menunjukkan bumbung rumah diterbangkan angin dan lori besar terbalik, sementara pakar cuaca memberi amaran lebih banyak taufan dijangka berlaku hujung minggu ini.
Di Kansas, lapan maut dalam nahas melibatkan lebih 50 kenderaan akibat ribut debu yang mengakibatkan jarak penglihatan rendah, kata polis tempatan.
Peronda Lebuhraya Negeri Missouri mengesahkan 12 kematian berkaitan ribut dan berkongsi imej bot yang bertindih antara satu sama lain di sebuah marina yang musnah akibat cuaca buruk.
Pihak berkuasa melaporkan pokok tumbang, tiang elektrik rosak serta kemusnahan bangunan di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat "taufan, ribut petir dan hujan batu besar."
"Ia adalah pengalaman paling menakutkan yang pernah saya lalui, semuanya berlaku begitu pantas, dan telinga kami hampir pecah," kata Alicia Wilson, seorang penduduk Missouri yang dipindahkan, kepada stesen TV KSDK.
Di Missouri, enam maut di Wayne County, tiga di Ozark County, yang turut mencatatkan kecederaan serta masing-masing satu kematian di Butler, Jefferson dan St. Louis County, menurut polis.
Sementara itu, di Texas, pihak berkuasa tempatan memaklumkan kepada AFP bahawa empat individu maut dalam nahas jalan raya akibat ribut debu dan kebakaran yang menjejaskan jarak penglihatan.
Di negeri jiran, Arkansas, tiga maut dan 29 cedera dalam kejadian ribut.
Gabenor Arkansas, Sarah Huckabee Sanders, mengisytiharkan darurat dan memaklumkan bahawa beliau telah bercakap dengan Presiden Donald Trump.
"Beliau menyampaikan salam kepada rakyat Arkansas dan berjanji akan membantu dengan apa sahaja yang diperlukan selepas kejadian taufan malam tadi," tulis Sanders di platform X.
Menurut laman sesawang poweroutage.us,lebih 200,000 kediaman dan premis perniagaan di bahagian tengah negara itu mengalami gangguan bekalan elektrik,menjelang malam Sabtu.
Lebih banyak taufan diramalkan berlaku di negeri Gulf Coast tengah termasuk Mississippi dan Tennessee pada Sabtu.
"Taufan besar yang berpotensi ganas dan berlarutan dijangka berterusan sehingga ke malam ini," menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).
Pada 2024, sebanyak 54 kematian akibat taufan direkodkan di Amerika Syarikat, menurut Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).- AFP