QUININDE, 16 Mac- Tumpahan minyak di barat laut Ecuador menyebabkan sungai bertukar hitam, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengisytiharkan darurat alam sekitar.
Selain itu, mengarahkan penduduk menjimatkan penggunaan air minuman.
Tumpahan itu dipercayai berpunca daripada tanah runtuh yang merosakkan saluran utama paip minyak dan mencemarkan sebahagian Sungai Esmeraldas di wilayah yang sama.
Di pekan Cube, penduduk bertungkus-lumus membina benteng bagi menghalang aliran minyak yang telah mengubah warna air sungai, menurut pemerhatian seorang wartawan AFP.
"Lumpur yang bercampur minyak telah meresap ke seluruh cerun bukit," kata seorang petani, Fernando Gandara.
Jawatankuasa Operasi Kecemasan di ibu wilayah Esmeraldas mengisytiharkan darurat alam sekitar berikutan kebimbangan terhadap kualiti air.
Datuk Bandar Esmeraldas, Vilko Villacis, menyifatkan kebocoran itu sebagai bencana "tidak pernah berlaku sebelum ini" dan mengarahkan penghentian pengaliran air sungai ke terusan utama yang membekalkan air kepada lebih 200,000 penduduk.
Beliau turut menggesa orang ramai menjimatkan penggunaan air.
Pada Jumaat, syarikat minyak negara Petroecuador memaklumkan sedang berusaha menangani kecemasan itu di saluran paip terbabit, yang merupakan sebahagian daripada Sistem Paip Trans-Ecuador (SOTE).
Namun, syarikat itu belum menganggarkan jumlah minyak yang telah tumpah.
Tahun lalu, Ecuador menghasilkan 475,000 tong minyak mentah sehari, dengan 72 peratus daripadanya dieksport.
SOTE merupakan sistem paip utama di negara itu, yang berupaya mengangkut 360,000 tong minyak sehari merentasi perjalanan sejauh 500 kilometer dari Amazon ke pantai Pasifik.- AFP