SHANGHAI, 16 Mac- Badan pemantau sekuriti China akan meningkatkan pemantauan maklumat palsu dalam pasaran saham dan bekerjasama dengan polis dan pengawal selia siber untuk membanteras tindakan individu yang menyebarkan berita palsu berikutan maklumat tidak tepat menggunakan kecerdasan buatan (AI), lapor media rasmi.
AI menjadi alat baharu untuk mencipta dan menyebarkan maklumat yang mengelirukan selain digunakan untuk menipu pelabur atau memanipulasi saham.
Ada juga yang menggunakan teknologi itu untuk menarik minat pelabur dengan tawaran untuk menjadi kaya dengan cepat, kata Shanghai Securities News dalam artikel berasingan.
Kebangkitan syarikat AI China DeepSeek mendorong pelabur runcit dan pengurus dana untuk menerima AI untuk membantu dalam menilai syarikat dan melabur.
Namun penggunaan teknologi itu juga menimbulkan risiko pendedahan kepada berita palsu yang dicipta AI.
The Securities Times berkata Suruhanjaya Kawal Selia Sekuriti China akan lebih proaktif dalam menepis berita tidak sahih pasaran saham dengan mengeluarkan penjelasan dan akan mengukuhkan pendidikan dan bimbingan pelabur untuk "meningkatkan keupayaan pelabur dan mengesan" maklumat palsu.
Laporan dikeluarkan Securities Times dan Shanghai Securities News bertepatan dengan Hari Hak Pengguna Sedunia yang disambut pada 15 Mac menjadi acara televisyen dan media sosial utama di China untuk mempromosikan perlindungan pengguna.- Reuters