fb fb fb fb fb

Rusia, Ukraine terus berbalas serangan udara

Pesawat tanpa pemandu (UAV) berpandukan ketepatan RAM buatan Ukraine/ Reuters

MOSCOW, 16 Mac- Rusia dan Ukraine saling berbalas serangan udara antara satu sama lain, menyebabkan kecederaan dan kerosakan lain, kata pegawai awal Ahad.

Serangan berkenaan berikutan cadangan gencatan senjata terhadap perang tiga tahun itu belum menemui jawapan.

Presiden Rusia Vladimir Putin berkata, beliau menyokong cadangan Washington untuk gencatan senjata selama 30 hari dengan Ukraine tetapi tenteranya akan terus melakukan serangan hingga beberapa syarat penting diselesaikan.

Kedua-dua pihak sejak itu saling berbalas serangan udara dan Rusia bergerak lebih dekat di medan perang untuk mengusir tentera Ukraine di wilayah Rusia barat Kursk.

Gabenor Wilayah Vyacheslav Gladkov menerusi Telegram memaklumkan tiga individu cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia 7 tahun, dalam serangan dron Ukraine pada Ahad.

Dua daripada mereka cedera selepas dron berkenaan melanggar rumah mereka sekali gus mencetuskan kebakaran di daerah Gubkinsky, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dron di kampung Dolgoye.

Alexander Gusev, gabenor wilayah barat daya Rusia Voronezh, berkata di Telegram bahawa unit pertahanan udara telah memusnahkan lebih daripada 15 dron Ukraine di wilayah itu. Tiada laporan segera mengenai kecederaan atau kerosakan, kata Gusev.

Pemangku Gabenor Wilayah Selatan Rusia Rostov berkata, unit pertahanan menangkis serangan dron di wilayah itu, tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan dilaporkan.

Di Ukraine, pihak berkuasa melaporkan beberapa serangan dron Rusia masih dilancarkan termasuk di wilayah utara Chernihiv.

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di sebuah bangunan tinggi akibat serangan itu, kata perkhidmatan kecemasan Ukraine.

Sementara itu media Ukraine melaporkan beberapa siri letupan di wilayah sekitar ibu kota Kiev, selepas tentera udara Ukraine mengeluarkan amaran tentang ancaman serangan dron ke atas Kiev dan beberapa wilayah tengah Ukraine.

Bagaimanapun tiada maklumat rasmi mengenai potensi kerosakan di wilayah Kiev berhubung kejadian itu pada Ahad.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI