fb fb fb fb fb

Taufan Gabrielle: New Zealand rayu dana antarabangsa

(Foto REUTERS)

SYDNEY, 27 Februari- New Zealand akan melancarkan rayuan pengumpulan dana antarabangsa untuk kerja-kerja pembinaan semula secara besar-besaran yang perlu dilakukan selepas Taufan Gabrielle melanda utara negara itu pada awal bulan ini, yang menyebabkan beribu-ribu orang berpindah ke tempat perlindungan dan 11 orang terkorban.

Perdana Menteri Chris Hipkins berkata dana tersebut akan membiayai projek pemulihan jangka panjang dan menyasarkan golongan ekspatriat, ahli perniagaan dan individu yang menyayangi New Zealand. Katanya, pemilik Facebook Meta telah menawarkan untuk mempromosikan rayuan itu.

"Salah satu perkara yang kami tahu daripada peristiwa lalu ialah terdapat orang di luar negara yang mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan New Zealand, ingin memberi sumbangan," kata Hipkins pada sidang akhbar mengumumkan inisiatif itu.


(Chris Hipkins (kiri) pada sidang media pengumuman
pakej bantuan siklon kecemasan/REUTERS)

Inisiatif tersebut dilaksanakan selepas kutipan dana gempa bumi Christchurch pada 2011 yang mengumpul lebih NZ$94 juta ($57.94 juta).

Taufan Gabrielle melanda Pulau Utara New Zealand pada 12 Februari lalu, menenggelamkan jalan raya serta jambatan dan menyebabkan puluhan ribu orang terputus bekalan elektrik, melibatkan kawasan yang membentuk satu pertiga daripada negara itu. Sementara itu, polis masih mencari empat orang yang hilang.

Susulan itu, kerajaan New Zealand juga telah mengisytiharkan darurat. Mengikut sejarah negara itu, ini merupakan kali ketiga New Zealand mengisytiharkan darurat dan ia akan berterusan di kawasan yang dilanda taufan.

Hipkins berkata kerajaan sedang mempertimbangkan semua pilihan untuk membiayai pembinaan semula, yang dijangka menelan kos yang hampir sama selepas gempa bumi Christchurch sebanyak NZ$13.5 bilion.

Kerajaan juga berada dalam tekanan untuk mengelakkan perbelanjaan yang boleh memburukkan lagi inflasi selepas bank pusat New Zealand menaikkan kadar faedah ke paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun dan menjangkakan lebih banyak kenaikan akan datang.-REUTERS

Media Baharu