fb fb fb fb fb

Dua warga Israel, seorang warga Palestin terbunuh di Tebing Barat

(Foto AFP)

HUWARA, 27 Februari- Seorang lagi penduduk Palestin terbunuh dalam konflik di penempatan haram Tebing Barat.

Sumber memaklumkan, lelaki Palestin itu terbunuh dalam satu serangan pada Ahad. Pihak berkuasa Israel pula melaporkan dua warganya turut terbunuh.

Dilaporkan penceroboh warga Israel bertindak membakar rumah penduduk Palestin sebagai tindakan balas dendam.

Insiden tersebut berlaku ketika rundingan di Jordan untuk membincangkan keganasan yang semakin meruncing di wilayah yang diduduki itu dan beberapa hari selepas tentera Israel melancarkan serangan paling dahsyat di Tebing Barat dalam tempoh hampir 20 tahun.

Serangan itu menyebabkan 11 rakyat Palestin terbunuh di bandar utara Nablus.

Israel mengenal pasti warganya yang terbunuh sebagai Yagel Yaniv, 20, dan Hallel Yaniv, 22.


(Pasukan keselamatan Israel menggeledah kenderaan di pusat pemeriksaan Huwara,
pintu masuk selatan ke bandar Nablus, di Tebing Barat/AFP)

Kenyataan bersama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan menteri keselamatan negaranya, Itamar Ben-Gvir, mengesahkan "dua orang awam Israel terbunuh dalam serangan didakwa dilakukan penduduk Palestin".

"Mereka adalah penduduk Har Bracha, sebuah penempatan Yahudi berdekatan Nablus", menurut satu kenyataan yang dikeluarkan penduduk.

Agensi berita Palestin Wafa melaporkan bahawa peneroka (penduduk haram) "membakar beberapa rumah milik rakyat Palestin" di perkampungan berhampiran Nablus.

Kementerian Kesihatan Palestin, mengesahkan seorang warga Palestin berusia 37 tahun, Sameh Aqtash, ditembak mati di kampung Zaatara dekat Nablus.-AFP

Media Baharu