(Lebih 50 pendatang maut selepas bot yang sarat muatan karam semalam
di luar wilayah Calabria selatan Itali/AFP)
ISLAMABAD, 27 Februari- Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berkata lebih 20 orang warga Pakistan dipercayai antara 59 orang yang maut apabila sebuah bot yang membawa pendatang ke Eropah karam di luar pantai timur wilayah Calabria, Itali.
Dalam insiden itu, sekurang-kurangnya 81 orang terselamat, dengan 20 orang dimasukkan ke hospital termasuk seorang dalam unit rawatan rapi, kata pihak berkuasa Itali.
Bot kayu yang belayar dari Turkiye itu dikatakan membawa pendatang dari Iran dan juga Afghanistan.
"Laporan mengenai kematian lebih 20 orang warga Pakistan dalam tragedi bot di Itali amat membimbangkan " katanya dalam satu kenyataan.
"Saya telah mengarahkan pejabat asing untuk mendapatkan maklumat seawal mungkin.
(Pekerja rumah pengebumian membawa mayat pendatang
yang karam di kawasan selatan Calabria, Itali/AFP)
Bagaimanapun, Kementerian Luar di Pakistan dan Afghanistan tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Turkiye adalah sebahagian daripada laluan yang paling banyak digunakan oleh sindiket penyeludupan manusia untuk menyeludup pendatang ke Eropah.
Aktiviti tersebut juga kadang kala menggunakan laluan darat, berjalan kaki berbatu-batu dan menyembunyikan pendatang dalam kontena kapal selama beberapa hari.
Manakala Itali pula adalah salah satu tempat pendaratan utama bagi pendatang yang cuba memasuki Eropah melalui jalan laut serta ramai yang ingin mengembara ke negara Eropah utara.
Projek Migran Hilang Pertubuhan Bangsa Bersatu telah mencatatkan lebih 17,000 kematian dan kehilangan di tengah Mediterranean sejak 2014.
Pada tahun ini, dianggarkan lebih daripada 220 kes kematian atau hilang direkodkan.-REUTERS