fb fb fb fb fb

Angka korban Gaza melebihi 61,400

Foto AFP

ANKARA, 10 Ogos - Sekurang-kurangnya 61,430 rakyat Palestin terbunuh dalam perang genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan itu, kementerian memaklumkan bahawa 61 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 363 orang cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang cedera akibat serangan Israel meningkat kepada 153,213 orang.

“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan-jalan kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” menurut kenyataan itu lagi.

Kementerian turut memaklumkan bahawa 35 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 304 cedera akibat serangan Israel ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah yang terbunuh ketika mendapatkan bantuan meningkat kepada 1,778 orang, dengan lebih 12,894 lagi cedera sejak 27 Mei.

Selain itu, lima orang termasuk dua kanak-kanak dilaporkan maut dalam tempoh 24 jam lalu akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan. Angka itu menjadikan jumlah korban akibat kebuluran meningkat kepada 217 orang, termasuk 100 kanak-kanak, ketika krisis kemanusiaan di wilayah berkenaan semakin meruncing.

Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lalu dan sejak itu membunuh 9,921 orang serta mencederakan 41,172 yang lain, sekali gus memungkiri perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.- BERNAMA-Anadolu

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM