YAOUNDE, 10 Ogos - Bekas Perdana Menteri Chad Succes Masra, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh sebuah mahkamah jenayah di ibu negara Chad, N'Djamena, pada Sabtu, lapor Xinhua.
Masra didapati bersalah kerana menghasut kebencian dan permusuhan awam, menurut keputusan yang diumumkan oleh mahkamah jenayah Chad.
Peguamnya menyifatkan keputusan itu sebagai "satu penghinaan" dan memaklumkan mereka akan mengemukakan rayuan.
Masra ditangkap pada Mei selepas siasatan kerajaan mendakwa beliau menghasut orang ramai untuk melakukan keganasan, yang akhirnya menyebabkan kematian 42 orang dalam pertempuran di kampung Mandakao, di wilayah barat daya Logone Occidental.
Masra, presiden parti politik pembangkang The Transformers, pernah melarikan diri ke luar negara pada 2022 namun kembali semula dan dilantik sebagai perdana menteri oleh Presiden Mahamat Idriss Deby Itno.
Masra meletak jawatan selepas lima bulan berkhidmat sebagai perdana menteri pada 2024 bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan baharu.- BERNAMA-XINHUA