fb fb fb fb fb

Taufan di Filipina: Angka korban meningkat kepada 98 orang

(FOTO REUTERS)

MANILA, 31 Oktober- Angka kematian akibat ribut yang melanda Filipina telah meningkat kepada 98 orang.

Menurut agensi bencana negara, harapan untuk mencari mangsa yang terselamat di kawasan yang paling teruk terjejas adalah sangat tipis.

Lebih separuh kematian adalah akibat banjir kilat dan tanah runtuh menyusuli ribut tropika Nalgae yang memusnahkan perkampungan di pulau selatan Mindanao pada hari Jumaat lalu.

Mindanao adalah bandar yang jarang menjadi sasaran lebih daripada 20 taufan yang melanda Filipina setiap tahun, bagaimanapun ribut tropika yang melanda rantau itu cenderung meragut lebih banyak nyawa berbanding di Luzon serta bahagian tengah negara.

"Kami telah mengalihkan operasi kami daripada mencari dan menyelamat kepada mencari semula kerana peluang untuk bertahan selepas dua hari hampir tiada," kata Naguib Sinarimbo, Ketua Pertahanan Awam Wilayah Bangsamoro di Mindanao.

Jumlah kematian dijangka meningkat. Agensi bencana negara merekodkan 63 orang masih hilang dan berpuluh-puluh yang lain cedera.


(Keadaan banjir di Imus, wilayah Cavite, Filipina/REUTERS)

Pengawal Pantai Filipina menyiarkan gambar di Facebook yang menunjukkan anggotanya di kampung Kusiong yang musnah, di wilayah Maguindanao del Norte di Mindanao, mengharungi lumpur yang tinggi serta menggunakan kepingan kayu panjang untuk mencari lebih banyak mayat.

“Sepanjang hidup saya tinggal di sini, ini kali pertama kami mengalami banjir sebegini,” kata Joselito Ilano, 55, yang rumahnya dinaiki air separas pinggang.

"Saya sudah biasa banjir di sini tetapi ini adalah yang paling teruk, saya terkejut.", katanya.

Sementara itu, Presiden Ferdinand Marcos mula melawat beberapa kawasan yang teruk terjejas termasuk Noveleta
Marcos. Beliau berkata pemindahan awal di Noveleta telah menyelamatkan nyawa.

"Walaupun bencana itu besar, jumlah korban tidak begitu tinggi, walaupun terdapat banyak kerosakan pada infrastruktur," katanya.

Taufan Nalgae mengakibatkan kampung banjir, memusnahkan tanaman dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di banyak wilayah ketika ia melanda seluruh Filipina.

Para saintis telah memberi amaran mengenai taufan yang membawa maut dan mengakibatkan kemusnahan lebih besar apabila dunia menjadi lebih panas disebabkan perubahan iklim.

Pakar kaji cuaca memberi amaran bahawa ribut tropika lain sedang menuju ke Filipina walaupun Nalgae bergerak merentasi Laut China Selatan.

Media Baharu