TEHRAN, 3 Ogos - Iran menarik balik semua sekatan ruang udara yang dikenakan ketika konflik 12 hari dengan Israel, menurut pengumuman Pertubuhan Penerbangan Awam (CAO) negara itu, pada Sabtu.
Dalam kenyataan di laman sesawangnya, CAO memaklumkan bahawa operasi penerbangan domestik dan antarabangsa kembali ke tahap sebelum perang, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad di Tehran yang kini beroperasi 24 jam.
“Mulai sekarang, semua syarikat penerbangan dan agensi pelancongan boleh kembali menawarkan perkhidmatan penerbangan serta jualan tiket 24 jam,” jelas kenyataan itu.
Iran menutup ruang udaranya pada 13 Jun selepas serangan udara Israel di Tehran dan beberapa kawasan lain. Konflik berakhir dengan gencatan senjata pada 24 Jun.
Pembukaan semula ruang udara dilakukan secara berperingkat bermula 26 Jun, dengan operasi lapangan terbang kembali normal secara beransur-ansur.
Pada 17 Julai, CAO mengumumkan semua lapangan terbang telah kembali beroperasi sepenuhnya kecuali Mehrabad yang ketika itu hanya beroperasi dari 4 pagi hingga 7 malam waktu tempatan.-REUTERS