fb fb fb fb fb

UNRWA dakwa GHF punca krisis kebuluran di Gaza

FOTO REUTERS

GAZA, 3 Ogos - Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mendakwa Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel, menyumbang kepada krisis kebuluran di Gaza yang mengakibatkan hampir 1,400 kematian berkaitan kelaparan.

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini, dalam kenyataan di media sosial berkata GHF secara sengaja melemahkan usaha bantuan kemanusiaan yang diselaraskan PBB, ketika Israel terus menghalang UNRWA menghantar bantuan sejak 2 Mac.

“Kebuluran 'buatan' manusia di Gaza sebahagian besarnya berpunca daripada cubaan menggantikan sistem PBB melalui GHF,” tulis Lazzarini, menyifatkan mekanisme bantuan alternatif itu sebagai sistem palsu yang bertanggungjawab terhadap kematian hampir 1,400 penduduk yang kelaparan.

Data PBB menunjukkan sekurang-kurangnya 1,373 rakyat Palestin terbunuh ketika mencari makanan sejak 27 Mei, termasuk 859 kematian berhampiran pusat pengagihan GHF dan 514 di sepanjang laluan konvoi makanan, kebanyakannya akibat tembakan tentera Israel.

GHF yang ditubuhkan pada akhir Mei dengan kelulusan Israel, hanya mengendalikan empat pusat pengagihan di seluruh Gaza. Saksi mendakwa keadaan di lokasi itu kacau-bilau, dengan penduduk terdesak berdepan risiko maut untuk mendapatkan bekalan makanan.

Amaran Lazzarini dibuat ketika keganasan baharu tercetus pada 30-31 Julai yang menyebabkan 105 rakyat Palestin terbunuh dan 680 cedera di sekitar laluan bantuan. Beliau menggesa pembukaan sempadan tanpa syarat bagi mengelak lebih banyak kematian akibat kelaparan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE