SYDNEY, 3 Ogos - Puluhan ribu penunjuk perasaan meredah hujan lebat berarak melintasi Jambatan Ikonik Sydney Harbour pada Ahad, menuntut keamanan dan penghantaran bantuan ke Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan semakin meruncing.
Hampir dua tahun konflik yang menurut pihak berkuasa Palestin telah meragut lebih 60,000 nyawa di Gaza, kekurangan makanan kini mencetuskan krisis kebuluran, menurut kerajaan dan pertubuhan kemanusiaan.
Sebahagian peserta perarakan yang dinamakan ‘March for Humanity’ membawa periuk dan kuali sebagai simbol kebuluran. Perarakan itu disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, keluarga dengan anak kecil, malah pengasas Wikileaks, Julian Assange.
Sebilangan peserta membawa payung, mengibarkan bendera Palestin serta melaungkan “Kita Semua Palestin”.
Tekanan diplomatik terhadap Israel semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu apabila Perancis dan Kanada mengumumkan pengiktirafan negara Palestin, manakala Britain turut menyatakan akan mengikut langkah sama kecuali Israel menangani krisis kemanusiaan dan mencapai gencatan senjata.
Israel bagaimanapun mengecam tindakan itu sebagai “memberi ganjaran kepada Hamas”, selain menafikan dasar kebuluran serta menuduh Hamas mencuri bantuan.
Konflik Gaza bermula apabila Hamas membunuh lebih 1,200 orang dan menawan 251 tebusan dalam serangan di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, menurut angka Israel.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyatakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara dan menegaskan penafian bantuan serta pembunuhan orang awam oleh Israel “tidak boleh dipertahankan atau diabaikan”, namun Australia belum mengiktiraf Palestin.
Peserta perarakan berusia 80-an, Therese Curtis berkata dia berarak kerana hak asas rawatan perubatan yang dinikmatinya di Australia tidak dikecapi rakyat Palestin.
“Hospital mereka dibom, mereka dinafikan hak rawatan perubatan asas dan saya berarak khusus kerana perkara itu,” katanya.-REUTERS