fb fb fb fb fb

Ribuan rakyat Thailand berhimpun desak PM letak jawatan

Penunjuk perasaan dilihat mengibarkan bendera, memakai selendang berwarna merah, putih dan biru yang simbolik kepada warna rasmi bendera Thailand/Foto AFP

BANGKOK, 3 Ogos – Ribuan rakyat Thailand berhimpun di sekitar Tugu Peringatan Kemenangan (Victory Monument) di Bangkok, semalam menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, susulan konflik di sempadan Thailand–Kemboja baru-baru ini.

Penunjuk perasaan dilihat mengibarkan bendera, memakai selendang berwarna merah, putih dan biru yang simbolik kepada warna rasmi bendera Thailand.

Mereka hadir sambil memegang kain rentang dengan mesej seperti “Perdana Menteri Pengkhianat” dan “Keluar Segera, Pengkhianat!”

“Saya benci kerajaan sekarang. Ini negara saya dan saya tak suka cara mereka mentadbir,” kata seorang peserta, Tawan.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Tooy, menyifatkan tindakan pengeboman oleh Kemboja ke atas wilayah Thai sebagai “tidak adil”, dan mengkritik kerajaan kerana lambat bertindak.

“Saya datang hari ini untuk bersolidariti dan mendesak kerajaan supaya lebih cekap dan mengurus negara dengan lebih baik. Kami tahu mereka mampu buat lebih baik,” katanya lagi.

Paetongtarn merangkap Menteri Kebudayaan merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 2024.

Pelantikan itu menjadikannya pemimpin termuda dan wanita kedua pernah memegang jawatan tersebut di Thailand.

Namun pada 1 Julai lalu, Mahkamah Perlembagaan menggantung tugas beliau selepas satu panggilan telefon bocor menunjukkan hubungan rapat beliau dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, ketika krisis sempadan berlaku.

Pertempuran tercetus di sekitar kuil Prasat Ta Muen Thom pada 23 Julai lalu, dengan laporan mengenai pertempuran bersenjata kecil, serangan artileri, dan serangan udara oleh tentera Thailand, selepas insiden letupan periuk api yang mencederakan anggota tentera Thai.

Konflik itu mengorbankan puluhan nyawa dan memaksa lebih 300,000 orang melarikan diri.

Punca utama pertikaia dipercayai berkait isu sempadan yang tidak selesai sejak zaman penjajahan.

Gencatan senjata hasil usaha mesyuarat khas ASEAN yang dipengerusi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 28 Julai lalu - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN