MOSCOW, 3 Ogos - Gunung berapi Krasheninnikov di Kamchatka meletus pada awal pagi Ahad, kejadian pertama dalam tempoh 600 tahun, yang dipercayai berkaitan dengan gempa bumi besar di Rusia minggu lalu, lapor agensi berita RIA dan beberapa saintis.
“Ini adalah letusan pertama Gunung Krasheninnikov yang disahkan secara sejarah dalam 600 tahun,” kata Ketua Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka, Olga Girina, seperti dipetik RIA.
Girina menambah, letusan itu mungkin berkaitan dengan gempa bumi pada Rabu lalu yang turut mencetuskan amaran tsunami sejauh Polinesia Perancis dan Chile, serta diikuti letusan Gunung Klyuchevskoy, gunung berapi paling aktif di Semenanjung Kamchatka.
Gunung Krasheninnikov kali terakhir memuntahkan lava sekitar tahun 1463 (anggaran, boleh lebih awal atau lewat 40 tahun), dan sejak itu tiada letusan berlaku.
Cawangan Kementerian Perkhidmatan Kecemasan Rusia di Kamchatka memaklumkan, kepulan abu setinggi 6,000 meter direkodkan susulan letusan berkenaan, dengan awan abu bergerak ke arah timur menuju Lautan Pasifik. Tiada kawasan penempatan berada di laluannya.
Letusan itu telah diberi kod penerbangan jingga, menandakan risiko tinggi kepada pesawat, menurut kementerian tersebut.-REUTERS