fb fb fb fb fb

Lula menang jawatan Presiden Brazil

(Penyokong Presiden Luiz Inacio Lula da Silva berkumpul pada hari pusingan
pilihan raya presiden Brazil/REUTERS)

SAU PAULO, 31 Oktober- Pemimpin veteran Brazil berhaluan kiri, Luiz Inacio Lula da Silva dipilih sebagai presiden baharu negara itu, selepas menang tipis dalam pilihan raya.

Beliau menewaskan pesaing utamanya yang juga penyandang jawatan presiden, Jair Bolsonaro.

Lula da Silva memperoleh 50.90 peratus undi manakala Bolsonaro (49.10 peratus). Mahkamah Pilihan Raya Tertinggi (TSE) mengisytiharkan Lula sebagai presiden seterusnya.


(Lula da Silva semasa perhimpunan malam pilihan raya pada hari pusingan
pilihan raya presiden Brazil, di Sao Paulo, Brazil, 30 Oktober 2022/REUTERS)

Pengisytiharan rasmi Lula da Silva yang berusia 77 tahun itu sebagai presiden dijadualkan pada 1 Januari depan.

Kemenangan itu menyaksikan kemunculan semula yang menakjubkan bagi bekas presiden berhaluan kiri itu. Beliau juga pernah memegang jawatan Presiden Brazil ke-35 bermula dari 2003 hingga 2010.

“Setakat ini, Bolsonaro tidak memanggil saya untuk mengiktiraf kemenangan saya, dan saya tidak tahu sama ada dia akan memanggil atau sama ada dia akan mengiktiraf kemenangan saya,” kata Lula kepada puluhan ribu penyokong yang meraikan kemenangannya di Paulista Ave, Sao Paulo.

Dia berikrar untuk mengembalikan semula pertumbuhan ekonomi dan dasar sosial yang dipacu kerajaan yang membantu mengeluarkan berjuta-juta daripada kemiskinan selama dua penggal sebagai presiden dari 2003 hingga 2010.

Beliau juga berjanji untuk memerangi kemusnahan hutan hujan Amazon, yang kini berada pada paras tertinggi dalam 15 tahun dan menjadikan Brazil peneraju dalam perbincangan iklim global.

Presiden A.S. Joe Biden mengucapkan tahniah kepada Lula kerana memenangi pilihan raya yang bebas, adil dan berwibawa, yang turut disertai pemimpin Eropah dan Amerika Latin.

Pemerhati pilihan raya antarabangsa berkata pilihan raya Ahad dijalankan dengan cekap. Seorang pemerhati memberitahu Reuters bahawa juruaudit tentera tidak menemui sebarang kelemahan dalam ujian integriti yang mereka lakukan terhadap sistem pengundian tersebut.-REUTERS

Media Baharu