GAZA, 4 Ogos – Angka kematian rakyat Palestin di Semenanjung Gaza kini meningkat kepada 60,839 orang, manakala 149,588 lagi cedera sejak konflik bersenjata antara Hamas dan Israel meletus, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad.
Dalam tempoh 24 jam lalu, serangan udara Israel dilaporkan telah meragut 119 nyawa dan mencederakan 866 orang.
Pihak berkuasa Palestin juga mendakwa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyerang sekumpulan penduduk yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di kawasan Koridor Morag, selatan Gaza, menyebabkan puluhan orang cedera.
Setakat ini, tiada kenyataan balas dikeluarkan oleh pihak IDF berhubung dakwaan tersebut.
Dalam insiden berasingan, enam rakyat Palestin dilaporkan maut akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kematian akibat kebuluran meningkat kepada 175 orang, termasuk 93 kanak-kanak.
Sementara itu, pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas mengesahkan lebih 22,000 trak bantuan kemanusiaan kini tersekat di pintu-pintu lintasan masuk ke Gaza.
Pihak berkuasa tempatan menuduh tentera Israel secara sengaja menghalang kemasukan bantuan tersebut.
Dalam satu kenyataan tegas, pejabat itu mengecam sekatan yang dikenakan dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada dasar sistematik yang "merekabentuk kebuluran, sekatan dan kekacauan." Ia turut menggesa agar pintu lintasan dibuka tanpa syarat bagi membolehkan semua bantuan masuk secara selamat dan lancar demi menyelamatkan nyawa orang awam.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak IDF pada Ahad melaporkan tenteranya telah memusnahkan ratusan infrastruktur tentera dalam tempoh dua bulan lalu, termasuk struktur permukaan dan bawah tanah, lokasi penyimpanan senjata, pos tinjauan serta kedudukan penembak tepat yang dikatakan mengancam keselamatan pasukan Israel di selatan Gaza.
IDF turut mendedahkan, mereka menemui dan memusnahkan laluan terowong bawah tanah sepanjang 300 meter, yang mengandungi sejumlah besar senjata, roket dan pelancar roket. -REUTERS