ISLAMABAD, 4 Ogos – Iran dan Pakistan berikrar memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, ketika kedua-dua negara mengecam tindakan ketenteraan Israel dalam satu sidang media bersama di Islamabad pada Ahad.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dalam lawatan rasminya ke Pakistan, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Shehbaz Sharif atas sokongan Islamabad berikutan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran pada Jun lalu.
Dalam sidang media bersama, Sharif mengecam serangan Israel dan menyatakan bahawa Iran mempunyai "hak penuh untuk memiliki kuasa nuklear selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)."
Pezeshkian pula menyifatkan tindakan Israel sebagai "pencerobohan dan tindakan tidak sah rejim Zionis," serta menegaskan perlunya kerjasama serantau yang lebih kukuh bagi menangani ketegangan semasa.
Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan komitmen untuk mempererat kerjasama ekonomi.
Menurut laporan tempatan, Pezeshkian sebelum ini menyatakan nilai perdagangan dua hala antara Iran dan Pakistan berpotensi ditingkatkan kepada AS$10 bilion.
Presiden Iran itu turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, yang kemudian menganjurkan majlis makan malam rasmi sebagai tanda penghormatan terhadap lawatan berkenaan. -REUTERS