fb fb fb fb fb

Pesawat terhempas di Mallorca: Mayat bapa dan anak ditemui

Foto Reuters

MADRID, 4 Ogos – Polis Sepanyol mengesahkan penemuan mayat seorang juruterbang dan anak lelakinya yang maut selepas pesawat ringan dinaiki mereka terhempas ke dalam laut berhampiran Pulau Mallorca, malam Sabtu lalu.

Menurut pihak berkuasa, pesawat jenis Team Rocket F-4 Raider berkapasiti dua tempat duduk itu terhempas di perairan Puerto Soller sekitar pukul 8.20 malam (2 Ogos).

Media tempatan melaporkan pesawat berkenaan dipercayai sedang melakukan aksi akrobatik sebelum nahas berlaku.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejurus nahas dilaporkan, namun gagal menemui mangsa pada malam kejadian. Usaha pencarian disambung semula pada awal pagi Ahad.

Pasukan penyelam khas daripada Pengawal Awam Sepanyol berjaya menemukan kedua-dua mayat pada kedalaman 30 meter di dasar laut.

“Kira-kira pukul 1 tengah hari (1100 GMT), penyelam khas daripada Pengawal Awam menemui mayat juruterbang dan anaknya yang berusia 13 tahun. Kedua-duanya telah dibawa ke Pelabuhan Soller,” kata kenyataan rasmi agensi itu.

Mayat mangsa telah dibawa keluar untuk proses forensik, manakala siasatan lanjut akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar insiden. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN