fb fb fb fb fb

Tarif baharu Amerika Syarikat jejaskan eksport Asia

Foto hiasan REUTERS

WASHINGTON, 26 Ogos - Dasar tarif baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump mula menggugat perdagangan Asia apabila eksport India dan Korea Selatan terkesan, manakala Indonesia memperoleh pengecualian terhad bagi beberapa komoditi utama.

Di India, pelaksanaan tarif tambahan 25 peratus mulai Rabu meningkatkan kadar keseluruhan sehingga 50 peratus, antara yang tertinggi dalam sejarah hubungan perdagangan dua hala. Tindakan itu, sebagai serang balas kepada peningkatan pembelian minyak Rusia oleh New Delhi. Ia dijangka menjejaskan sektor keluli, automotif, farmaseutikal, tekstil dan hasil tani.

Kementerian Perdagangan India memaklumkan, syarikat eksport akan diberikan sokongan kewangan dan digalakkan mencari pasaran alternatif termasuk China, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Di Korea Selatan pula, Perkhidmatan Pos Korea menggantung penghantaran bungkusan ke AS melalui Express Mail Service (EMS) selepas Washington memansuhkan peraturan de minimis yang sebelum ini mengecualikan barangan bernilai di bawah AS$800 daripada cukai. Kini, hampir semua barangan kecuali dokumen, akan dikenakan tarif. Pihak Korea Post sedang berunding dengan pihak kastam AS untuk membolehkan perkhidmatan disambung semula dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Berbeza dengan India dan Korea Selatan, Indonesia memperoleh sedikit kelonggaran apabila Washington secara prinsip bersetuju mengecualikan eksport minyak sawit, koko dan getah daripada tarif 19 peratus yang dikenakan sejak awal Ogos.

Menteri Ekonomi, Airlangga Hartarto, berkata pengecualian itu masih memerlukan rundingan lanjut mengenai teknikaliti dan dokumentasi, namun berpotensi menurunkan kadar cukai kepada hampir sifar. Dalam rundingan sama, turut dibincangkan kemungkinan pelaburan AS dalam kemudahan simpanan bahan api di Indonesia bersama dana kekayaan negara Danantara dan Pertamina.

Langkah tarif terbaru ini menandakan peningkatan tekanan perdagangan AS ke atas negara-negara Asia, di tengah usaha Washington mengukuhkan kedudukan ekonominya berbanding pesaing strategik. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR