BERLIN, 27 Ogos – Jerman akan menarik balik larangan berbulan-bulan terhadap kemasukan warga Afghanistan yang sebelum ini dijanjikan untuk diterima, susulan tekanan undang-undang di dalam negara serta tindakan Pakistan mempergiatkan usaha pengusiran.
Seorang pegawai Kementerian Luar Jerman berkata, keputusan itu melibatkan kira-kira 2,000 warga Afghanistan yang telah diluluskan berpindah ke Jerman di bawah program khas bagi golongan berisiko di bawah pemerintahan Taliban, namun terkandas di Pakistan sejak beberapa bulan lalu selepas Berlin membekukan skim berkenaan bagi mengehadkan kemasukan migran.
Langkah itu dibuat selepas beberapa pertubuhan serta puluhan warga Afghanistan terjejas memfailkan saman mencabar pembekuan tersebut.
Jurucakap pertubuhan bantuan Kabul Luftbruecke (Kabul Air Bridge), Eva Beyer, memaklumkan keluarga yang memperoleh keputusan mahkamah akan mula berlepas dari Pakistan dalam masa terdekat, namun butiran lanjut belum didedahkan.
“Sebahagian mereka menunggu berbulan-bulan, malah ada yang bertahun-tahun untuk meninggalkan Pakistan,” katanya sambil menambah perjalanan ke Jerman akan menggunakan penerbangan komersial biasa, bukan penerbangan sewa khas.
Kementerian Dalam Negeri Jerman pula menjelaskan, hanya warga Afghanistan dengan kelulusan kemasukan akan dibenarkan masuk selepas melalui pemeriksaan keselamatan.
Jumlah sebenar individu yang layak masih belum dapat dipastikan dan mereka tetap memerlukan permit keluar daripada pihak berkuasa Pakistan. -REUTERS