fb fb fb fb fb

Tanpa dana kecemasan, Marineland mungkin suntik mati 30 paus Beluga

Taman tema Marineland di Kanada/ REUTERS

ONTARIO, 9 Oktober - Taman tema Marineland di Kanada yang ditutup tahun lalu memaklumkan kemungkinan terpaksa menyuntik mati 30 ekor paus beluga yang masih tinggal sekiranya tidak menerima bantuan dana kecemasan daripada kerajaan.

Taman tema yang terletak di Niagara Falls itu baru-baru ini tidak mendapat kelulusan permit daripada Jabatan Perikanan dan Lautan Kanada untuk memindahkan paus-paus berkenaan ke sebuah akuarium di China.

Susulan itu, pengurusan taman tema yang kini berdepan risiko muflis telah memohon dana kecemasan daripada kerajaan bagi menampung kos makanan haiwan tersebut, namun permohonan itu ditolak kementerian pada Isnin (6 Oktober).

Menurut laporan The New York Times, Menteri Perikanan Persekutuan, Joanne Thompson, dalam surat balas kepada pihak Marineland memaklumkan bahawa kerajaan Kanada tidak bertanggungjawab dan menanggung kos paus tersebut kerana tiada pelan alternatif disediakan.

"Fakta bahawa Marineland tidak mempunyai perancangan alternatif yang berdaya maju walaupun telah menternak paus ini selama bertahun-tahun, tidak meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan Kanada untuk menanggung perbelanjaan mereka," menurut surat balas itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Ontario, Doug Ford, pada Selasa (7 Oktober) menyuarakan rasa simpati terhadap nasib haiwan tersebut, dan menggesa kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan tempatan serta Marineland bagi mencari penyelesaian agar paus-paus beluga itu tidak perlu disuntik mati.

Kumpulan hak asasi haiwan seperti Animal Justice turut mendesak agar paus berkenaan dipindahkan ke santuari khas paus seperti yang terdapat di Nova Scotia, namun pakar memberi amaran proses itu akan mengambil masa panjang dan boleh meningkatkan beban kewangan kepada pembayar cukai.

Marineland, yang suatu ketika dahulu menerima jutaan pengunjung setiap tahun dan memiliki antara populasi paus dalam kurungan terbesar di dunia, telah menamatkan operasinya pada penghujung musim panas tahun lalu.

Taman tema itu turut berdepan kritikan meluas berhubung keadaan kebajikan haiwan di fasilitinya dan pada asalnya merancang untuk memindahkan semua paus beluga terakhirnya ke Chimelong Ocean Kingdom di Zhuhai, China.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI