MADRID, 9 Oktober - Parlimen Sepanyol pada Rabu meluluskan satu dekri diraja baharu yang memperkukuh sekatan perdagangan senjata dengan Israel, susulan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap rejim Zionis itu.
Langkah tersebut diluluskan dengan 178 undi menyokong, termasuk daripada Parti Sosialis pemerintah dan beberapa parti sekutu, manakala 169 undi menolak. Ia merupakan daripada Parti Rakyat (PP) berhaluan konservatif serta parti sayap kanan VOX. Namun seorang ahli parlimen bertindak berkecuali.
Dekri yang pada asalnya diumumkan kerajaan pada September lalu itu, menetapkan larangan eksport dan import bahan pertahanan serta peralatan polis dan keselamatan ke dan dari Israel.
Ia turut melarang kapal dan pesawat menuju ke Israel yang membawa senjata daripada berlabuh di pelabuhan Sepanyol atau memasuki ruang udara negara itu.
Kerajaan Sepanyol menyifatkan langkah berkenaan sebagai tindakan tegas meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel, namun ia dikritik sesetengah pihak yang menganggapnya tidak menyeluruh.
Parti berhaluan kiri, Podemos, yang pada mulanya mengancam untuk berkecuali, akhirnya menyokong dekri tersebut, namun memberi amaran bahawa pengecualian tertentu dibenarkan bawah peraturan baharu itu boleh menjejaskan keberkesanan embargo berkenaan.- REUTERS