GAZA, 9 Oktober - Angka korban di Gaza terus meningkat kepada 67,183 orang, manakala 169,841 lagi cedera sejak konflik tercetus pada 7 Oktober 2023.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam lalu, operasi ketenteraan Israel di Gaza mengorbankan 10 penduduk Palestin dan mencederakan 61 yang lain.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan juga pada Rabu, Pejabat Media Kerajaan Gaza yang ditadbir Hamas menzahirkan kebimbangan terhadap kesan serius pertempuran yang berlarutan selama dua tahun ini terhadap barisan hadapan profesional dan orang awam.
Menurut pejabat berkenaan, serangan ketenteraan Israel secara purata meragut nyawa dua petugas kesihatan setiap hari, seorang wartawan setiap tiga hari dan seorang anggota pertahanan awam setiap lima hari.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa, purata 232 penduduk Palestin cedera setiap hari, dengan lebih separuh daripadanya terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.
Selain itu, tentera Israel turut melancarkan sekurang-kurangnya satu serangan harian ke atas sistem kesihatan tempatan sekali gus menjejaskan kemudahan perubatan.- REUTERS