GAZA, 9 Oktober - Dahulu terkenal dengan jalan-jalan yang sibuk, kawasan kejiranan yang indah serta dihiasi masjid dan taman, kini bandar-bandar di Gaza hanya tinggal runtuhan selepas hampir dua tahun dibedil bertubi-tubi rejim Zionis Israel.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA), dianggarkan sebanyak 436,000 unit kediaman, iaitu 92 peratus daripada jumlah keseluruhan, telah musnah atau rosak teruk.
Sebanyak 70 peratus struktur bangunan dan 81 peratus jalan raya juga dilaporkan mengalami kerosakan menyeluruh.
Laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada April lalu turut mendedahkan bahawa 83 peratus tanah pertanian boleh guna, 83 peratus telaga air pertanian dan 71 peratus rumah hijau di Gaza turut dimusnahkan.
Perang di Gaza tercetus selepas serangan Israel melalui udara dan darat secara besar-besaran ke atas Gaza.
Setakat ini, serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu telah mengorbankan lebih 67,183 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala 169,841 lagi cedera.- REUTERS