fb fb fb fb fb

Hospital Al-Aqsa sesak, kapasiti pesakit cecah 700

Keadaan di luar Hospital Al-Aqsa, penduduk mencari perlindungan dan rawatan akibat serangan berterusan rejim Zionis/ REUTERS

GAZA, 9 Oktober - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan Hospital Al-Aqsa di sini kini beroperasi melebihi tiga kali ganda kapasiti asalnya, susulan peningkatan mendadak jumlah penduduk yang melarikan diri daripada serangan di Gaza City.

Menurut WHO, tekanan terhadap hospital kedua terbesar di Gaza itu semakin meningkat apabila ribuan penduduk mencari perlindungan dan rawatan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

"Hospital Al-Aqsa yang terletak di kawasan tengah Gaza sebelum ini mempunyai kapasiti maksimum 200 katil. Ketika ini, hospital itu menempatkan lebih 700 pesakit dan memerlukan kerja-kerja peluasan segera," kata Wakil WHO ke Wilayah Palestin, Dr Richard Peeperkorn.

Visual di lapangan menunjukkan barisan panjang orang ramai yang menunggu untuk mendapatkan rawatan, manakala di dalam hospital pula dipenuhi pesakit serta ahli keluarga — ada yang ditempatkan di atas katil, pengusung, dan sebahagiannya terpaksa berbaring di lantai.

Serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza sepanjang sebulan lalu telah menyebabkan banyak hospital di utara terpaksa ditutup, sekali gus memburukkan lagi kesesakan di hospital yang masih beroperasi di bahagian selatan wilayah itu.

Ketika ini, hanya 14 daripada 36 hospital di Gaza masih berfungsi sebahagiannya, menurut WHO, dengan kebanyakan hospital di selatan kini beroperasi melebihi kapasiti.

Pada Ahad (5 Oktober), WHO telah menghantar bekalan penting termasuk peralatan rawatan trauma, kelengkapan makmal, makanan dan air minuman bagi menampung keperluan lebih 5,000 pesakit dan kakitangan di Hospital Al-Ahli.

"Dalam perjalanan ke hospital, amat menyedihkan apabila kami menemukan dua mayat dan membawanya ke bilik mayat di hospital ini agar mereka dapat dikebumikan dengan sempurna," kata Dr Peeperkorn.

Pihak berkuasa Gaza melaporkan lebih 67,000 penduduk terbunuh sejak rejim Zionis memulakan serangan ketenteraan ke atas wilayah itu dan lebih 169,000 lagi cedera.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI