HAITI, 9 Oktober - Keganasan yang semakin meruncing di Haiti telah menyebabkan 680,000 kanak-kanak hilang tempat tinggal, hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu, susulan penguasaan kumpulan bersenjata yang semakin meluas serta kejatuhan perkhidmatan awam.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan lebih 6 juta penduduk, termasuk 3.3 juta kanak-kanak, kini memerlukan bantuan kemanusiaan, melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan penduduk negara itu.
UNICEF memaklumkan, lebih 1 juta kanak-kanak kini berdepan tahap kritikal kekurangan makanan, manakala sekitar 288,500 kanak-kanak bawah lima tahun dijangka mengalami masalah kekurangan zat makanan akut menjelang 2025.
Setakat tahun ini, 246,000 penduduk telah dipindahkan secara dalaman, manakala lebih 1.3 juta penduduk dilaporkan kehilangan tempat tinggal, dengan kanak-kanak menjadi golongan paling terjejas akibat krisis tersebut.
Sekurang-kurangnya 2.7 juta penduduk kini tinggal di kawasan dikuasai kumpulan bersenjata, sekali gus menyukarkan operasi pasukan keselamatan dan organisasi kemanusiaan.
Bulan lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu meluluskan pelan diperluas disokong Amerika Syarikat untuk misi keselamatan antarabangsa yang ditugaskan membantu pihak berkuasa Haiti. Namun, selepas lebih 15 bulan dilancarkan, misi itu masih kekurangan dana, tenaga kerja dan peralatan.
UNICEF menyeru komuniti antarabangsa agar menyalurkan dana segera bagi memperluaskan bantuan kecemasan meliputi penempatan sementara, penjagaan kesihatan, pendidikan dan bekalan air bersih, sambil memberi amaran bahawa kekurangan dana boleh menjejaskan program penting untuk kanak-kanak Haiti.- REUTERS