fb fb fb fb fb

Tangani krisis kemanusiaan global, PBB mohon dana AS$47 bilion

Tom Fletcher / Foto REUTERS

GENEVA, 4 Disember- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memohon dana sebanyak AS$47 bilion bagi tahun hadapan untuk membantu jutaan pelarian konflik dan mereka yang menghadapi kebuluran, ketika rayuan tahun ini masih belum mencapai separuh daripada jumlah yang diperlukan.

Menurut Ketua Bantuan PBB yang baharu, Tom Fletcher, pihaknya bimbang akan potensi pemotongan dana daripada negara barat, termasuk Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden baharu, Donald Trump.

"Saya percaya kita perlu menyusun semula hubungan kita dengan golongan paling memerlukan di dunia," katanya di sini.

Tambah Fletcher, PBB menganggarkan seramai 305 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan di seluruh dunia, namun rayuan itu tidak termasuk kira-kira 115 juta orang yang keperluannya sukar dipenuhi secara realistik.

Rayuan kemanusiaan PBB itu adalah yang keempat terbesar dalam sejarah, dengan rayuan terbesar sebanyak AS$56 bilion pada 2023, menurut data PBB.

Bantuan kemanusiaan hanya satu bahagian daripada perbelanjaan keseluruhan PBB, yang selama ini menghadapi kekurangan bajet teras akibat tunggakan bayaran oleh negara anggota.

AS adalah penyumbang terbesar kepada bajet bantuan, menyumbang lebih AS$13 bilion tahun ini, atau lebih 45 peratus daripada jumlah yang diterima.

Jelasnya, semasa penggal pertama Trump, AS telah memotong beberapa bajet PBB, tetapi tidak kepada rayuan bantuan kemanusiaan global.

"Saya tidak percaya bahawa tidak wujud rasa belas kasihan dalam kalangan kerajaan yang terpilih ini," kata Fletcher.

Fletcher merancang untuk meluangkan masa di Washington bagi berunding dengan pentadbiran baharu itu. - REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM