WELLINGTON, 28 Mei- Australia dan New Zealand telah berjanji untuk memberikan bantuan bernilai jutaan dolar kepada Papua New Guinea (PNG) susulan tanah runtuh yang membawa maut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beberapa kampung di wilayah Enga terjejas apabila sebahagian gunung runtuh pada awal pagi Jumaat di kawasan pedalaman terpencil di tanah tinggi Papua New Guinea.
Agensi bencana Papua New Guinea menyatakan lebih daripada 2,000 orang mungkin tertimbus di bawah runtuhan.
Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Winston Peters pada Selasa menyatakan bahawa kerajaan telah meluluskan tawaran bantuan praktikal dan kewangan, bernilai kira-kira NZ$1.5 juta (US$923,000), untuk membantu respons itu.
"Tanah runtuh di Wilayah Enga di Papua New Guinea adalah satu tragedi yang amat menyayat hati. Ingatan kami kekal dengan semua yang terjejas secara langsung dan rakyat serta kerajaan Papua New Guinea," tulis Peters di platform media sosial X, sebelum ini Twitter.
"Jenis bantuan kami akan berdasarkan keperluan komuniti yang terjejas, seperti yang ditentukan melalui perbincangan berterusan dengan pihak berkuasa PNG (Papua New Guinea)," tambah Peters.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Australia, Richard Marles berkata negara itu akan menyediakan bantuan kemanusiaan awal sebanyak AU$2.5 juta (US$1.6 juta).
"Sebagai negara jiran dan sahabat, kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk memberi sokongan," catatnya di X.
Pasukan Pertahanan Australia bekerjasama rapat dengan rakan sejawatnya di Papua New Guinea, kata Marles.
"Kerja-kerja ini merupakan satu lagi demonstrasi perkongsian erat antara negara dan tentera kami."- BERNAMA-dpa