PORT MORESBY, 19 Mac- Sekurang-kurangnya 23 terkorban dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Simbu, Papua New Guinea.
Pemangku Pengarah Pusat Bencana Negara, Lusete Man berkata, mangsa ditemukan tertimbus dalam lumpur.
"Kesemua mereka tertimbus di bawah lapisan lumpur dalam kejadian tiga tanah runtuh berasingan di lokasi berbeza di wilayah Simbu", katanya.
Ketika ini, hujan lebat, banjir dan tanah runtuh masih berlaku, menyebabkan kerosakan besar di kawasan tanah tinggi tersebut.
Wilayah itu, antara yang terbesar juga dikenali sebagai Simbu, terdiri daripada enam daerah dan menempatkan kira-kira 376,000 orang penduduk.
Penduduk yang mendiami kawasan pesisir pantai juga terjejas berikutan kejadian air pasang surut yang semakin meningkat hingga menghanyutkan kawasan pinggir laut dan menyebabkan perkampungan tepi pantai dinaiki air.
Kerajaan memperuntukkan bantuan kecemasan sebanyak 10,000 kina PNG ($2,645).
Wilayah Enga yang berdekatan juga telah mengalami banjir besar.
Ketua Komuniti Wapenamanda, Aquila Kunzie memberitahu RNZ Pacific bahawa penduduk terlibat terpaksa mencatu bekalan makanan.
"Hujan yang berterusan di daerah Wapenamanda telah menyebabkan sungai melimpah," kata Kunzie.
Tambahnya, lebih 100 wanita dan kanak-kanak berlindung di kampungnya berikutan peperangan puak berhampiran.
"Kami makan hanya sekali sehari, kami tidak mampu untuk sarapan dan makan tengah hari dengan mereka semua," katanya.
"Kami tidak mempunyai cara untuk meminta bantuan."
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand memberitahu AFP bahawa ia tidak menerima permohonan bantuan.
"Kami akan berhubung dengan rakan diplomatik kami di Port Moresby untuk butiran lanjut dan akan terus memantau dengan teliti," kata jurucakap itu pada Selasa.
Menurut Indeks Risiko Dunia 2022, Papua New Guinea disenaraikan sebagai negara ke-16 paling berisiko di dunia terhadap perubahan iklim dan bahaya semula jadi.-AFP