fb fb fb fb fb

Presiden China dahului mesej ucapan tahniah pemilihan semula Presiden Putin

Foto fail: Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin/ REUTERS

BEIJING, 18 Mac- Presiden China Xi Jinping mendahului senarai pemimpin dunia yang mengucapkan tahniah kepada penyandang Presiden Rusia Vladimir Putin yang dipilih semula sebagai Ketua Negara itu pada Isnin, lapor Sputnik.

Dalam ucapan tahniahnya yang disiarkan oleh China Central Television (CCTV), Xi berkata pemilihan semula Putin mencerminkan sepenuhnya sokongan daripada rakyat negara itu dan beliau yakin Rusia akan mencapai lebih banyak kejayaan besar dalam pembangunan di bawah kepimpinan Putin.

China meletakkan kepentingan utama bagi memupuk hubungan dengan Rusia dan bersedia untuk mengekalkan kerjasama rapat dengan negara itu dengan menggalakkan pembangunan mampan dalam perkongsian strategik itu, kata Xi.

Perdana Menteri India Narendra Modi mengucapkan tahniah kepada Putin berikutan pemilihan semulanya dan beliau menzahirkan harapan untuk bekerjasama bagi mengukuhkan perkongsian kedua-dua negara.

“Menanti untuk bekerjasama mengukuhkan lagi "Special and Privileged Strategic Partnership" yang telah teruji antara India dan Rusia dalam tahun mendatang,” kata Modi di laman X.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un juga mengucapkan tahniah kepada Putin menurut agensi berita negara itu KCNA.

Pemimpin-pemimpin lain yang turut mengucapkan tahniah kepada Putin ialah Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev dan Presiden Belarus Alexander Lukashenko.

Presiden Venezuela Nicolas Maduro mengucapkan tahniah kepada Putin ke atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden dan peratusan keluar mengundi luar biasa, kata Menteri Luar Venezuela Yvan Gil .

“Presiden Venezuela Nicolas Maduro Moros bagi pihak rakyat Venezuela mengucapkan tahniah kepada Presiden Vladimir Vladimirovich Putin dan pergerakan politiknya ke atas kejayaan besar dalam pilihan raya dan pemilihan semula sebagai Presiden Rusia bagi penggal 2024-2030,” kata Gil di laman X.

Pada masa sama, Presiden Nicaragua Daniel Ortega juga mengucapkan tahniah kepada Putin atas kejayaannya dalam pilihan raya presiden dan berkata keputusan pengundian di Rusia merupakan sumbangan kepada kestabilan global.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Vladimir Putin yang dipilih semula sebagai Presiden Rusia. Kami akan terus mengukuhkan persahabatan dan solidariti antara rakyat dan kerajaan kita,” kata Menteri Luar Cuba Bruno Rodriguez Parrilla di laman X.

Presiden Bolivia Luis Arce dalam hantarannya di laman X berkata kemenangan Putin yang meyakinkan itu mengesahkan perpaduan rakyat Rusia terhadap kedaulatan dan pembangunan yang malar.

Presiden Iran Ebrahim Raisi juga mengucapkan tahniah kepada Putin berikutan kemenangannya dalam pilihan raya presiden, kata kedutaan negara itu di Moscow pada Isnin.

“Presiden Iran telah menyampai mesej yang beliau dengan ikhlas mengucapkan tahniah kepada Vladimir Putin di atas kejayaannya dan pemilihan semula sebagai Presiden Rusia,” kata kedutaan negara itu di laman Telegram.

Amir Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah adalah antara pemimpin pertama Negara Teluk mengucapkan tahniah kepada Putin di atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden, kata Agensi Berita Kuwait (KUNA) pada Isnin.

Amir Kuwait telah menghantar mesej ucapan tahniah dan berharap Presiden Rusia itu akan mencapai kejayaan, kesihatan yang baik dan kemakmuran selain daripada pengukuhan dan kemajuan dalam hubungan akrab kedua-dua negara bersahabat itu.

Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum mengucapkan tahniah kepada Putin di atas pemilihan semulanya itu, menurut agensi berita UAE, WAM.

Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa juga menzahirkan hasrat baginda untuk mengukuhkan kerjasama dengan Rusia selepas pemilihan semula Putin sebagai presiden negara itu, menurut mesej ucapan tahniah yang dikeluarkan Agensi Berita Bahrain (BNA) pada Isnin.

Baginda mengucapkan tahniah kepada Putin di atas pemilihan semulanya dan mengharapkan beliau berjaya dalam menjalankan tugas sebagai presiden selain daripada mencapai aspirasi rakyat Rusia untuk kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang berterusan, menurut BNA. -BERNAMA-SPUTNIK

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI