fb fb fb fb fb

Amerika Syarikat tiada hak campur tangan di Laut China Selatan- China

Foto fail/AFP)

BEIJING, 19 Mac- China berkata Amerika Syarikat tiada hak untuk campur tangan di Laut China Selatan, selepas Setiausaha Negara Antony Blinken berkata Washington tetap dengan komitmennya untuk mempertahankan Filipina daripada serangan bersenjata di perairan yang menjadi pertikaian.

"Amerika Syarikat bukan pihak dalam isu Laut China Selatan dan tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam isu maritim antara China dan Filipina," kata Jurucakap Kementerian Luar Lin Jian dalam sidang media di Beijing.

Blinken berada di Manila, Filipina bagi lawatan keduanya sejak Presiden Ferdinand Marcos memegang jawatan pada 2022 sebagai sebahagian daripada lawatan singkat ke Asia untuk mengukuhkan sokongan AS terhadap sekutu serantau menentang China.

"Kerjasama ketenteraan antara AS dan Filipina tidak menjejaskan kedaulatan dan hak maritim dan kepentingan China di Laut China Selatan", ujar Lin semasa menjawab soalan pada kenyataan Blinken sebelum ini.

"China akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempertahankan kedaulatan wilayah, hak dan kepentingan maritimnya serta menjaga keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan," tambahnya.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan yang merupakan laluan penting untuk perdagangan global, mengenepikan tuntutan lain daripada beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Filipina.-AFP

ROSLINA BINTI DIN