(Penumpang semasa menaiki teksi di hentian Woodlands, Singapura/ AFP)
SINGAPURA, 7 Julai- Tambang teksi bagi teksi Singapura yang melakukan perjalanan antara Singapura dengan Johor Bahru dijangka naik bermula 11 Julai ini.
Perkhidmatan bas dan teksi rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia dibenarkan beroperasi semula pada 1 Mei lalu, dua tahun selepas operasi digantung akibat pandemik COVID-19.
Selain itu, khidmat bas awam rentas sempadan antara Singapura dengan Johor Bahru juga sudah disambung semula.
Syarikat teksi Singapura seperti ComfortDelGro dan Strides Taxi menerusi media sosial mengumumkan akan berlaku kenaikan tambang bagi perjalanan rentas sempadan.
Perubahan harga itu akan bermula Isnin depan termasuk perjalanan dari terminal teksi Ban San Street di Rochor ke Larkin Sentral, Johor Bahru dari 48 dolar Singapura (RM151) ke 60 dolar Singapura (RM188).
Tambang dari Lapangan Terbang Changi atau Seletar ke Larkin Sentral akan naik dari 80 dolar Singapura (RM251) ke 120 dolar Singapura (RM377).
Bagi lokasi lain di Singapura ke Larkin Sentral juga akan dinaikkan dari 60 ke 80 dolar Singapura.
Sementara itu, tambang teksi Singapura dari Larkin Sentral ke mana-mana destinasi di Singapura tidak termasuk terminal teksi Ban San Street akan naik dari 55 dolar Singapura (RM173) ke 60 dolar Singapura, atau 70 dolar Singapura (RM220) bagi penumpang yang membuat tempahan awal.
Perjalanan Larkin Sentral ke Ban San Street menggunakan teksi berdaftar Singapura masih kekal dengan harga RM120. - AFP
(GAMBAR FAIL)