fb fb fb fb fb

PM lawat syarikat pertahanan, aeroangkasa utama Turkiye

ANKARA, 7 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat syarikat pertahanan dan aeroangkasa utama Turkiye di sini ketika Malaysia berusaha meningkatkan kerjasama teknologi dengan republik itu.

Perdana Menteri yang berada di Turkiye dalam lawatan rasmi empat hari, melawat MKE Corporation dan Industri Aeroangkasa Turkiye (TAI).

Setibanya di MKE, Datuk Seri Ismail Sabri disambut Menteri Pertahanan Negara, Hulusi Akar dan Ketua Pegawai Eksekutif MKE, Yasin Akdere sebelum diberi taklimat mengenai operasi perintis sektor pertahanan Turkiye itu.

MKE, sebuah syarikat milik kerajaan yang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Turkiye sebagai pembekal utamanya, mempunyai 10 kilang moden dan lebih 400 rangkaian produk yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu peluru, senjata, roket, bahan letupan dan piroteknik.

Di TAI, Perdana Menteri diberi taklimat mengenai operasi oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Temel Kotil.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat Turkish Aerospace Industries (TAI),
syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye / Foto BERNAMA)

Terletak di ibu negara Turkiye, kilang pengeluaran TAI meliputi kawasan seluas lima juta meter persegi dengan kemudahan industri seluas 150,000 meter persegi.

Datuk Seri Ismail Sabri turut menyaksikan pertunjukan udara yang mempamerkan helikopter T129 ATAK, kenderaan udara tanpa pemandu ANKA, pesawat latihan HURKUs dan helikopter GOKBEY.

Media Baharu