fb fb fb fb fb

Bekas Presiden Yoon Suk Yeol didakwa atas tuduhan salah guna kuasa, bantu negara musuh

Bekas Presiden Yoon Suk Yeol / REUTERS

SEOUL, 10 November - Bekas Presiden Yoon Suk Yeol hari ini didakwa dengan pertuduhan tambahan termasuk salah guna kuasa dan membantu negara musuh, berkaitan pelaksanaan darurat ketenteraan (martial law) yang singkat tahun lalu.

Menurut jurucakap pendakwa, siasatan mendapati Yoon cuba mencetuskan konflik ketenteraan antara Korea Selatan dan Korea Utara bagi mewajarkan pengisytiharan martial law. Bukti yang ditemui dalam telefon bimbit seorang pegawai tentera menunjukkan nota-nota seperti 'drones' dan 'surgical strike', yang dipercayai merujuk kepada cadangan provokasi terhadap Korea Utara.

Memo yang dirampas turut menunjukkan Yoon bersama bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun dan bekas ketua risikan tentera Yeo In-hyung merancang untuk menggalakkan serangan Korea Utara ke atas Korea Selatan. Tujuan mereka ialah mewujudkan ketegangan sebagai alasan untuk mengisytiharkan martial law.

Kim dan Yeo turut didakwa atas pertuduhan yang sama.

Pasukan pendakwa khas menuduh Yoon dan komander tenteranya mengarahkan operasi dron rahsia memasuki wilayah Korea Utara bagi menaikkan ketegangan serta memberi justifikasi kepada pengisytiharan darurat ketenteraan.

Pada Oktober tahun lalu, Korea Utara mendakwa Korea Selatan menghantar dron menyebarkan risalah anti-Pyongyang dan menyiarkan gambar serpihan dron yang kononnya milik tentera Korea Selatan. Seoul ketika itu enggan mengesahkan dakwaan tersebut.

Yoon dan Kim menafikan mereka mengisytiharkan martial law untuk merosakkan kepentingan negara. Yeo pula dilaporkan berkata dia kesal kerana tidak membantah arahan Yoon, namun pendakwa menyifatkan alasannya sebagai tidak masuk akal berdasarkan bukti dalam telefon bimbitnya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE