fb fb fb fb fb

Taliban didakwa bunuh lebih 100 bekas pegawai kerajaan Afghanistan

FOTO AFP

AMERIKA SYARIKAT, 31 Januari- Laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, Taliban dan sekutunya didakwa telah melakukan pembunuhan terhadap lebih 100 bekas anggota kerajaan Afghanistan termasuk anggota keselamatan dan mereka yang bekerja dengan pasukan keselamatan antarabangsa.

Agensi Berita AFP yang melihat salinan laporan awal, menggambarkan berlaku sekatan hak asasi manusia yang serius oleh pemerintah baharu, Taliban.

Turut didedahkan mengenai pembunuhan politik, hak wanita dan halangan untuk membantah atau bersuara.

"Walaupun pengumuman pengampunan am kepada bekas anggota kerajaan, pasukan keselamatan dan mereka yang bekerja dengan pasukan tentera antarabangsa, UNAMA (Misi Bantuan PBB di Afghanistan) masih menerima dakwaan yang boleh dipercayai mengenai pembunuhan, kehilangan dan kekejaman lain terhadap individu ini," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Sejak Taliban menguasai Kabul pada 15 Ogos tahun lalu, UNAMA telah menerima lebih 100 laporan pembunuhan yang boleh dipercayai, jelas laporan itu.

Lebih dua pertiga daripada pembunuhan itu dilakukan tidak mengikut cara yang ditetapkan undang-undang dan turut dilakukan sekutu Taliban.

Laporan itu turut menyatakan pembela hak asasi manusia dan petugas media terus menjadi sasaran serangan, ugutan, gangguan, layanan buruk selain risikio dibunuh.

Turut diperincikan dalam laporan mengenai sekatan kerajaan terhadap protes awan, serta kekangan akses untuk wanita serta remaja perempuan untuk bekerja dan mendapatkan pendidikan.

"Seluruh sistem sosial dan ekonomi yang kompleks sedang ditutup," jelas Guterres dalam laporan tersebut. -AFP

Media Baharu