TAMIL NADU, 11 Januari- Tiga gadis berusia 13 tahun dari India dilaporkan melarikan diri daripada rumah untuk pergi ke Korea Selatan menonton konsert BTS.
Ketiga-tiga remaja itu, meninggalkan rumah mereka di daerah Karur, Tamil Nadu, India, pada pagi 4 Januari lalu.
Kehilangan mereka mula disedari oleh pihak sekolah apabila ketiga-tiganya tidak hadir ke kelas pada hari berkenaan.
Guru kelas memaklumkan ibu bapa tentang ketidakhadiran mereka sebelum melaporkannya kepada polis tempatan.
Ketika itu, gadis-gadis itu telah pun sampai ke bandar Chennai dengan menaiki kereta api.
Walaupun hanya mempunyai kira-kira INR 14,000 dalam simpanan mereka, ketiga-tiga remaja itu menyangka ia mencukupi untuk membiayai perjalanan ke Korea.
Mereka berjaya mendapatkan bilik di sebuah hotel di Chennai pada malam Khamis dan berharap untuk pergi ke Seoul tanpa pasport.
Tetapi pada hari Jumaat, mereka telah keletihan dari pengembaraan dan akhirnya memutuskan untuk menaiki kereta api pulang ke rumah.
P. Vedanayagam, Ketua Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Vellore berkata: "ketika berada di stesen kereta api Katpadi, mereka turun untuk membeli makanan, dan terlepas kereta api.
"Anggota polis bercakap dengan remaja terbabit seterusnya memaklumkan mengenai keadaan mereka ,"katanya.
Pegawai itu berkata, gadis-gadis itu ditempatkan di kemudahan yang dikendalikan kerajaan dan ibu bapa mereka telah dipanggil untuk sesi kaunseling.
Ke semua mereka kemudiannya dihantar pulang selepas diberi kaunseling pada 6 Januari lalu.-REUTERS