WASHINGTON, 11 Januari- Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat isyarat jelas terhadap China agar tidak menganggu proses pilihan raya Presiden dan Parlimen Taiwan, kata pegawai tertinggi pentadbiran Biden pada Rabu.
Pegawai tersebut yang enggan namanya disiarkan berkata Washington tidak memihak atau mempunyai calon pilihan pada pilihan raya berkenaan yang dijadualkan pada 13 Januari ini.
“Kami menentang sebarang campur tangan atau pengaruh luar dalam pilihan raya Taiwan,” kata pegawai itu.
"Tidak kira siapa yang dipilih, dasar AS terhadap Taiwan akan tetap sama dan hubungan tidak rasmi yang kukuh juga akan diteruskan", kata pegawai berkenaan ketika taklimat bersama para wartawan.
Pilihan raya Taiwan berlangsung ketika hubungan antara Amerika Syarikat dan China berada dalam pemulihan susulan pertemuan kedua-dua pemimpin negara itu di California November lalu.
Pilihan raya itu berlangsung dengan perang mulut yang semakin meningkat antara Taiwan dan China.
China menganggap pulau itu sebagai salah sebuah wilayahnya walaupun mendapat bantahan keras kerajaan Taiwan manakala Washington mahu mengekalkan status quo pulau berkenaan yang diperintah sendiri.
Pelancaran satelit China yang memasuki wilayah Taiwan mencetuskan ribut politik di pulau itu pada hari Rabu mengenai motif China hanya beberapa hari sebelum pilihan raya presiden.
Pegawai Pentadbiran Biden itu memberi amaran bahawa gangguan kepada keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan akan merosakkan ekonomi global dengan serius dan kesannya akan menjejaskan ekonomi di seluruh dunia.
Menurut pegawai itu lagi,AS merancang untuk menghantar delegasi tidak rasmi ke Taiwan selepas pilihan raya untuk mengadakan perbincangan dua hala.
Tambah pegawai itu, beberapa bekas pegawai tinggi negara 'Uncle Sam' itu berkemungkinan akan terlibat.
“Amerika Syarikat mempunyai keyakinan penuh terhadap proses demokrasi Taiwan, dan terdapat sokongan kuat dua parti untuk pilihan raya yang bebas dan adil.
"Taiwan adalah model untuk demokrasi, bukan sahaja di rantau ini, tetapi juga di seluruh dunia," kata pegawai itu.
Dalam pada itu, seorang pegawai tertinggi White House, Jon Finer dilaporkan bertemu dengan seorang pegawai kanan China bagi membincangkan membincangkan ketegangan mengenai Taiwan dan Laut China Selatan pada Rabu kata White House dalam satu kenyataan.
Finer, yang merupakan Timbalan Penasihat Keselamatan AS, bertemu Liu Jianchao, ketua Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan komunikasi terbuka seperti yang diarahkan oleh Biden dan Xi dalam sidang kemuncak California sebelum ini.-REUTERS