fb fb fb fb fb

Polis Australia patahkan cubaan bunuh empat anggota ONEFOUR

Empat daripada ahli kumpulan ONEFOUR jadi sasaran bunuh kumpulan penjenayah

SYDNEY, 11 Januari- Polis Australia berjaya mematahkan rancangan kumpulan jenayah untuk membunuh empat anggota kumpulan rap ONEFOUR, di Sydney barat.

Polis New South Wales memberitahu, kumpulan penjenayah tersebut telah diupah untuk menculik dan membunuh mangsa yang disasarkan.

Mereka diupah untuk membunuh empat "lelaki berprofil tinggi" dari Mount Druitt, sebuah kawasan pinggir bandar Sydney barat, kata Detektif Superintendan Peter Faux.

Mangsa yang dimaksudkan dikenal pasti media Australia sebagai ahli ONEFOUR, kumpulan rap drill yang anggotanya berasal dari Mount Druitt.

Drill adalah gaya hip-hop Amerika terkenal dengan lirik yang digabungkan dengan rujukan jenayah dan perang kumpulan.

Kumpulan rap itu, yang dianggotai lima ahli teras keturunan Samoa, membintangi dokumentari Netflix; menceritakan usaha polis untuk menghentikan mereka daripada membuat persembahan di khalayak ramai: "ONEFOUR: Against All Odds".

Polis berkata mereka membuat dua serbuan di barat daya Sydney pada waktu subuh, menahan dua lelaki berusia 26 dan 20 tahun atas tuduhan bersubahat melakukan pembunuhan, penculikan, dan rompakan bersenjata.

Dua lagi lelaki dijangka ditangkap dan didakwa berhubung 'niat membunuh', kata Faux.

Polis juga telah mengeluarkan waran tangkap ke atas lelaki kelima yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara berhubung dakwaan komplot pembunuhan, katanya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE