fb fb fb fb fb

Universiti Oxford mulakan ujian manusia terhadap vaksin virus Nipah

Foto fail: Pembantu makmal menangkap kelawar ketika mereka mengumpul spesimen untuk penyelidikan virus Nipah di kawasan Shuvarampur di Faridpur, Bangladesh, 14 September 2021/ REUTERS

OXFORD, 11 Januari- Universiti Oxford telah memulakan ujian manusia terhadap vaksin eksperimen terhadap virus Nipah yang menyebabkan pembengkakan otak yang membawa kepada wabak di negeri Kerala India dan bahagian lain di Asia.

Setakat ini masih belum ada vaksin untuk virus maut itu.

Virus Nipah mula dikenal pasti kira-kira 25 tahun lalu di Malaysia dan telah menyebabkan wabak di Bangladesh, India dan Singapura.

Peserta pertama dalam ujian itu telah menerima dos vaksin sepanjang minggu lepas. Ia berdasarkan teknologi yang sama seperti yang digunakan dalam vaksin AstraZeneca COVID-19 AstraZeneca dan Institut Serum India.

Percubaan peringkat awal membabitkan 51 pesakit, berlangsung di Oxford dan akan ia bagi mengkaji tahap keselamatan dan tindak balas imun vaksin itu kepada orang berumur 18 hingga 55 tahun, kata jurucakap Institut Sains Pandemik Universiti.

Percubaan seterusnya dijangka menyusul di negara yang terjejas oleh Nipah.

“Nipah mempunyai potensi wabak, dengan perumah kelawar ditemui di kawasan yang menempatkan lebih dua bilion orang. Percubaan ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha membina satu set alat untuk melindungi daripada virus pembunuh ini,” kata Dr In-Kyu Yoon, seorang eksekutif di Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI).

Percubaan ini diketuai oleh Oxford Vaccine Group dan dibiayai oleh CEPI, sebuah gabungan global yang menyokong pembangunan vaksin terhadap penyakit berjangkit yang muncul.

Moderna pada 2022 juga memulakan percubaan klinikal peringkat awal vaksin virus Nipah, yang dibangunkan bersama Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan AS.

Pada September, negeri Kerala India menyaksikan wabak Nipah keempat berlaku dalam tempoh lima tahun, dengan enam orang dijangkiti dan dua kematian.

Jangkitan boleh menyebabkan demam, sakit kepala, batuk dan kesukaran bernafas dan seterusnya menyebabkan pembengkakan kepada otak.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian akibat wabak itu dianggarkan 40 peratus hingga 75 peratus. -REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI