BANGKOK, 28 November - Angka korban banjir besar di selatan Thailand meningkat kepada sekurang-kurangnya 145 orang.
Jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat berkata, kebanyakkan kematian dilaporkan di wilayah Songkla.
Sementara itu, polis sempadan Thailand memohon maaf kerana menyiarkan imej yang diubah suai menggunakan kecerdasan buatan (AI), menunjukkan pasukan penyelamat memakai pakaian tempur dan memegang senjata automatik ketika operasi menyelamat di Hat Yai yang teruk terjejas akibat banjir.
Pihak berkuasa Thailand sebelum ini pernah dituduh mereka-reka bukti dalam beberapa kes, namun imej terbaharu yang dimanipulasi itu menimbulkan reaksi pelbagai termasuk kecaman.
Unit Polis Peronda Sempadan ke-437 telah menyiarkan imej penyelamat bersenjata di halaman Facebook selepas media sosial merakam bunyi tembakan ketika sukarelawan menaiki jet ski menjalankan kerja-kerja menyelamat di Hat Yai.
“Polis sempadan bersedia memasuki zon 8 hari ini,” menurut kapsyen tersebut, disertakan dengan emoji ketawa.
Namun, hasil pemeriksaan oleh AFP menggunakan alat pengecaman Google AI iaitu SynthID, menemukan tera air atau 'watermark' digital dalam imej tersebut.
Tera air Gemini berbentuk bintang juga kelihatan di salah satu sudut, menunjukkan bahawa imej itu telah dicipta menggunakan perisian Google AI.
Unit polis peronda memohon maaf pada Khamis dan menyiarkan gambar asal yang menunjukkan anggota polis tanpa senjata di dalam bot memakai jaket keselamatan berwarna oren, bukannya memakai helmet dan baju perisai.
Bekalan bantuan dapat dilihat dalam kedua-dua versi gambar.
“Ini adalah imej sebenar sebelum ia dijadikan imej AI,” menurut unit itu. “Kami memohon maaf atas sebarang salah faham.”
“Kami menghasilkan gambar itu hanya untuk menunjukkan kepada orang ramai kesiapsiagaan kami untuk memasuki kawasan tersebut,” kata seorang pegawai kepada AFP, yang enggan mendedahkan namanya.
"Tiada anggota mereka yang bekerja dalam misi bantuan banjir membawa senjata api, tambahnya.
Imej tersebut dibuat ketika pusat antiberita palsu kerajaan Thailand mengeluarkan amaran di Facebook: “Jangan kongsi imej AI yang mengelirukan orang ramai dan menjadi halangan kepada usaha bantuan.”
Netizen mengkritik penggunaan AI itu. “Jangan buat begini lagi, kamu mesti memahami kepentingan komunikasi ketika krisis,” kata seorang pengguna.
Yang lain pula menggesa pihak berkuasa menjadikannya realiti dengan seorang berkata: “Dari hati penduduk Hat Yai, inilah yang rakyat mahukan." - AFP