MEDAN, 28 November - Lebih 260 orang maut akibat banjir di Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Musim monsun yang membawa hujan lebat beserta ribut tropika telah menenggelamkan beberapa kawasan di ketiga-tiga negara.
Pihak berkuasa di Sumatera memaklumkan, banjir dan tanah runtuh minggu ini telah meragut sekurang-kurangnya 111 nyawa, dengan hampir 100 lagi masih hilang.
Jurucakap polis Sumatera Utara, Ferry Walintukan berkata, pihak berkuasa memberi tumpuan kepada proses pemindahan dan pemberian bantuan.
"Akses ke beberapa kawasan dan komunikasi masih terputus, " katanya kepada AFP.
“Mudah-mudahan cuaca kembali baik supaya kami boleh menggerakkan helikopter ke lokasi yang paling teruk terjejas.”
Di wilayah Aceh di pulau Sumatera, air surut meninggalkan lumpur yang menimbus kereta hampir ke paras tingkap.
Seorang koresponden AFP melihat sebuah lori membawa kayu balak ditinggalkan dalam lumpur, tanpa kelihatan pemandunya.
Lebih banyak hujan diramalkan untuk sebahagian besar Sumatera, walaupun tahap intensitinya dijangka berkurangan.
Di Thailand, sekurang-kurangnya 145 orang terkorban di seluruh wilayah selatan negara itu.
Jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat pada Jumaat memaklumkan, kebanyakkan mangsa maut di wilayah Songkhla.
Pihak berkuasa di Hospital Songklanagarind memberitahu, mereka tidak lagi mempunyai ruang untuk menempatkan mayat dan kini bergantung kepada lori sejuk beku.
“Bilik mayat telah melebihi kapasiti, jadi kami perlukan lebih banyak (ruang),” kata Charn, seorang pegawai bilik mayat kepada AFP.
Terdapat peningkatan kritikan awam terhadap respons banjir dan dua pegawai tempatan kini telah digantung kerana didakwa gagal menjalankan tugas.
Di Malaysia, dua maut dalam banjir yang menenggelamkan sebahagian kawasan di negeri Perlis. - AFP