fb fb fb fb fb

20,000 tentera Sri Lanka dikerah bantu operasi menyelamat penduduk terjejas banjir

Banjir semakin memburuk di Sri Lanka / Foto AFP

COLOMBO, 28 November - Sri Lanka mengerahkan tentera untuk melakukan operasi menyelamat serta menghantar bantuan ketika angka korban banjir dan tanah runtuh di seluruh negara meningkat kepada 56.

21 yang lain, masih hilang.

Helikopter, bot tentera laut dan beribu-ribu anggota tentera telah digerakkan bagi membantu memindahkan penduduk kampung yang terkandas di beberapa bahagian di negara itu.

Menurut Pusat Pengurusan Bencana (DMC), hujan lebat turun dihampir keseluruhan negara seluas 65,000 kilometer persegi itu, dengan sesetengah kawasan merekodkan taburan air hujan hingga 360 mililiter dalam tempoh 24 jam.

Sungai Kelani, yang mengalir ke Lautan Hindi berhampiran ibu negara Colombo, dijangka melimpahi tebing lewat Jumaat dan penduduk telah diberi amaran supaya berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Seorang penduduk, V. S. A. Ratnayake, 56, berkata, beliau terpaksa meninggalkan rumahnya yang ditenggelami air di Kaduwela, di luar Colombo.

“Saya rasa ini mungkin banjir paling buruk di kawasan kami dalam tempoh tiga dekad,” kata Ratnayake kepada AFP.

“Saya masih ingat banjir pada tahun 1990-an apabila rumah saya ditenggelami air sedalam tujuh kaki.” katanya lagi.

Tentera telah mengerahkan lebih 20,000 anggota, manakala tentera laut menggunakan bot untuk memindahkan penduduk kampung dan membantu membersihkan sisa runtuhan.

Daripada 56 kematian yang disahkan, 26 telah tertimbus hidup-hidup dalam kejadian tanah runtuh di daerah penanaman teh Badulla di wilayah tengah, menurut DMC.

Seramai 21 lagi masih hilang, dengan 14 orang dirawat di hospital.

Hampir 3,000 rumah rosak dan hampir 15,000 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Kerajaan  menangguhkan peperiksaan akhir tahun di semua sekolah seluruh negara selama dua hari akibat cuaca buruk, manakala penjawat awam diberi cuti selama sehari.

Sidang parlimen turut menggantung sesi perbahasan belanjawan supaya pengubal undang-undang dapat kembali ke kawasan masing-masing bagi mengurus banjir. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN