fb fb fb fb fb

ICC tolak rayuan pembebasan Duterte

Peguam bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte gagal mengemukakan langkah kukuh untuk menyokong pembebasan beliau / Foto AFP

THE HAGUE, 28 November - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak permohonan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte agar dibebaskan daripada tahanan menjelang perbicaraan atas pertuduhan jenayah kemanusiaan semasa kempen beliau memerangi dadah.

Hakim Luz del Carmen Ibanez Carranza ketika membacakan keputusan penghakiman berkata, peguam kepada pemimpin berusia 80 tahun itu gagal mengemukakan langkah pencegahan yang cukup kukuh untuk membolehkan pembebasan sementara beliau dari pusat tahanan di The Hague.

Peguam Duterte, yang merayu terhadap keputusan terdahulu, telah memohon parol “atas dasar kemanusiaan” kerana keadaan kesihatannya.

Hakim bagaimanapun berkata, syarat-syarat pembebasan yang dicadangkan tidak mencukupi untuk mengurangkan risiko yang dikenal pasti berhubung pembebasan sementara Duterte.

Mahkamah juga menolak hujah pembelaan bahawa Duterte harus dibebaskan atas alasan kemanusiaan.

Duterte, yang menjadi presiden dari 2016 hingga 2022, ditahan di Manila pada 11 Mac lepas dan dibawa ke penjara ICC di Scheveningen, berhampiran The Hague.

Beliau kelihatan sangat lemah dan hampir tidak boleh bercakap ketika membuat penampilan pertama di mahkamah melalui video.

Duterte berdepan pertuduhan berhubung kempen memerangi pengedar dan penagih dadah semasa pemerintahannya, yang menurut kumpulan hak asasi telah mengorbankan ribuan nyawa.

Mahkamah masih belum membuat keputusan sama ada Duterte layak untuk dibicarakan.

Pada Oktober lepas, mahkamah menolak dakwaan pembelaan bahawa ICC tidak berwibawa untuk mengadili Duterte atas tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pertuduhan pertama melibatkan 19 pembunuhan yang dilakukan antara 2013 dan 2016 ketika Duterte menjadi Datuk Bandar Davao City.

Pertuduhan kedua merujuk kepada 14 pembunuhan terhadap individu yang didakwa sebagai ketua sindiket dadah pada 2016 dan 2017 ketika beliau menjadi presiden.

Manakala, pertuduhan ketiga melibatkan 43 pembunuhan suspek penagih atau pengedar dadah peringkat rendah.

Kerajaan Filipina “menghormati” keputusan mahkamah itu, kata seorang jurucakap Presiden Ferdinand Marcos kepada media di Manila.

Aktivis hak asasi mengalu-alukan keputusan penghakiman terbaharu terhadap Duterte.

Keluarga beberapa mangsa yang terkorban menonton sesi itu melalui video di sebuah kampus universiti di Manila.

Mereka bersorak dan bertepuk tangan apabila keputusan diumumkan. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN